blog ini kini dimiliki oleh tuan tanah yang asal - pdutama

Say No to UMNO - Pas Selangor

Monday, July 19, 2010

Isu perpaduan Melayu yang cuba dijadikan agenda politik oleh UMNO dipandang tidak relevan oleh PAS Selangor. PAS Selangor merasakan agenda ini cuba diketengahkan oleh UMNO semata-mata untuk memecahkan perpaduan erat dalam Pakatan Rakyat khasnya di negeri Selangor.

Sejak bulan Mac 2008 sehinggalah ke saat ini PAS Selangor semakin selesa dan begitu komited dalam memperteguhkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang didokong bersama PKR dan DAP lantaran menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat jelata.

Orang-orang Melayu di negeri Selangor kini semakin terbuka dan dapat menerima kesungguhan dan keikhlasan pimpinan PAS dalam memimpin mereka. UMNO di Selangor semakin dipinggirkan dan tidak mustahil dengan rekod cemerlang kerajaan yang diterajui Pakatan Rakyat dokongan PAS, UMNO Selangor akan terus ditolak khasnya oleh orang-orang Melayu sendiri.

Pimpinan PAS pelbagai peringkat termasuklah akar-umbi kini sudah bersedia untuk mengambil-alih saki-baki amanah kepimpinan Melayu yang dipegang oleh UMNO di Selangor untuk digantikan dengan kepimpinan Islam yang lebih adil dan meyakinkan seluruh masyarakat.

PAS Selangor memberi jaminan kepada orang-orang Melayu di negeri ini agar jangan bimbang dan khuathir kerana kiranya UMNO hilang kuasa di negeri ini maka kuasa politik itu akan beralih ke tangan pimpinan Melayu dalam PAS dan PKR yang ternyata lebih jujur dan bersih dalam memimpin agama, bangsa dan negeri ini.

*Kenyataan media oleh Roslan Shahir Mohd Shahir selaku Ketua Penerangan PAS Selangor Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor.

0 comments:

Post a Comment